PengenalanPengenalan

GOLONGAN ulama berperanan penting dalam sesebuah masyarakat. Menerusi keilmuan mereka, lahirlah masyarakat yang berilmu dan bertamadun. Kemunculan ulama di Nusantara berkait rapat dengan kedatangan dan pengaruh Islam yang datang dari pelbagai wilayah Islam. Jalinan intelektual tersebut telah membentuk beberapa generasi ulama berwibawa dan penyebaran ilmu pengetahuan berkembang melalui institusi pendidikan yang diasaskan. Kajian tentang tokoh-tokoh agama berwibawa ini amat perlu memandangkan peranan dan sumbangan mereka amat bernilai kepada masyarakat dan umat Islam.

Melihat kepada kepentingan peranan ulama untuk diketengahkan ke dalam masyarakat, pada 19-20 Mei 2001, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University (Kampus Pattani), Thailand dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (PKAUKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand telah berjaya menganjurkan persidangan peringkat antarabangsa, “Nadwah Ulama Nusantara (NUN) I: Peranan dan Sumbangan Ulama Pattani” di Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University (PSU), Kampus Pattani, Thailand.

Dalam siri seterusnya, “Nadwah Ulama Nusantara (NUN) II: Peranan dan Sumbangan Tokoh-tokoh Agama di Borneo” diadakan pada 14-15 Julai 2003 di Kuching, Sarawak, telah memberikan tumpuan kepada peranan dan sumbangan tokoh-tokoh agama di Borneo, khususnya para ulama Sarawak, Sabah, Kalimantan dan juga Brunei. Dalam meneruskan usaha memperkenalkan ulama Melayu, pihak Fakulti Pengajian Islam UKM seterusnya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang telah menganjurkan “Nadwah Ulama Nusantara (NUN) III: Ketokohan dan Pemikiran Ulama Malayu” pada 15-17 April 2005.

Pada siri keempat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM berjaya penganjurkan “Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Tranformasi Negara” di Kota Bharu bagi meneruskan agenda mengetengahkan ketokohan ulama di persada masyarakat. Fokus NUN IV adalah kepada peranan dan sumbangan ulama Melayu dalam pembinaan negara bangsa.

Legasi kecemerlangan Nadwah Ulama Nusantara diteruskan lagi pada tahun 2013, apabila buat julung kalinya NUN V berjaya dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penganjuran kali ini ibarat sireh pulang ke gagang kerana kali pertama dalam sejarah penganjuran NUN, Nadwah seumpama ini berjaya dilangsungkan pada 9 September 2013.

Siri penganjuran NUN VI pula, pihak penganjur telah berkerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi melihat ruang dan peranan ulama dalam perkembangan sistem pemerintahan di Tanah Melayu khususnya Negeri Sembilan. Ia bertujuan untuk menganalisis gandingan antara ulama dan umara dalam sejarah pemerintahan di Tanah Melayu selain menonjolkan pemerintah yang juga merupakan seorang ulama dalam lipatan sejarah. Pada siri ketujuh, “Nadwah Ulama Nusantara (NUN) VII: Ulama dan Pemikiran Wasatiyyah Nusantara” telah dianjurkan secara bersama dengan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) pada 8-9 Ogos 2017 di Bilik Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada Kali ke VIII dirancang diadakan di Kuching, Sarawak. Diharap dengan penganjuran kali ini ia akan dapat membincang dengan lebih tuntas perkembangan Islam dan Ulama di Sarawak dan di nusantara secara umumnya.